Ibnu Mas’ud berkata: Allah s.w.t. bertanya:

Wahai hambaKu, mengapa kamu berputus asa dari rahmatKu? Bukankah Aku yang menciptakanmu dan yang memberimu keamanan? Kenapa kamu bersikap bodoh kepadaKu, seakan-akan kamu tidak mengenalKu, dan berpaling dariKu seakan-akan kamu tidak setuju denganKu.

Wahai hambaKu, jika kamu menjauhiKu maka Aku menjauhimu. Jika kamu bertaubat kepadaKu, maka Aku terima taubatmu. Jika kamu bermaksud kepadaKu, maka Aku bermaksud mendekatkanmu. Jika kamu bingung jalanmu, maka Aku tunjukkan jalanmu. Jika kamu tidak memperhatikan dirimu kerana cinta kepadaKu, maka Aku yang mengurusi urusanmu. Jika kamu menangis kerana sulitnya mengubati dirimu, maka Aku ubati kamu. Jika kamu menangis kerana penyakitmu, maka Aku sembuhkan kamu. Jika kamu menangis kerana gelisah, maka Aku datangi kamu. Jika kamu menangis kerana takut, maka Aku amankan kamu. Dan jika kamu menangis kerana sedih kehilangan hak kamu, maka Aku ganti hakmu (yang hilang).

Janganlah kamu putus asa dari rahmatKu. Apakah kamu melihat orang yang memutus hubungan denganKu itu menjadi hina? Apakah kamu melihat orang yang menjauhiKu itu menjadi sakit? Apakah kamu melihat orang yang mencium bau harum dari taman dekat denganKu menjadi kurus? Apakah kamu pernah melihat orang yang mengetahui tanda-tanda pertolonganKu menjadi terbelenggu? Dan apakah kamu pernah melihat orang yang menemui manisnya zikir kepadaKu menjadi meninggalkanku dengan diam-diam?

Seakan-akan Allah s.w.t. berkata: Wahai hambaKu, janganlah kamu putus asa, kerana sesungguhnya kamu apabila suka berkhianat, maka Aku terkenal dengan yang maha Pemurah. Yang mempunyai pemberian. Apabila kamu mempunyai tabiat yang kasar, maka Akulah yang suka menepati janji. Apabila kamu yang mempunyai kejahatan, maka Akulah yang mempunyai kesabaran. Apabila kamu mempunyai kelalaian, maka Akulah yang mempunyai ampunan dan rahmat. Apabila kamu mempunyai ketakutan tidak diterima doa, maka Akulah yang mengkabulkan doamu. Maka, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Dzat yang murah dengan ampunanNya terhadap tukang-tukang sihir yang ramah dan menjadikan mereka termasuk golongan orang-orang yang baik.

*********************************************************************

Wahai Allah yang Maha Pemurah, kami putuskan semua usaha kami dan kami serahkan urusan kami kepada-Mu. Perbaikilah seluruh urusan kami, berikanlah yang terbaik untuk iman dan islam kami serta jadikanlah kami antara golongan yang redha atas qada’ dan qadar-Mu.

Advertisements

Jalan Panjang

Ya, jalan ini panjang. Boleh jadi kita masih di permulaan, boleh jadi kita masih dalam sesi persediaan, belum berdiri di garisan permulaan pun, untuk usia dakwah di Malaysia. Tetapi tidak pasti adakah kita diberi peluang untuk bersama hingga ke garisan penamat. Sekiranya tidak bersama ke garisan penamat, saya berdoa agar Allah kira saya sebagai salah seorang yang turut bersama membantu dalam pembinaan bahtera, walaupun hanya si pengangkat kayu.

*********************************************************

ISMA telah menubuhkan biro politik. Bagi saya, ia tindakan bijak dan jelas. Supaya masyarakat nampak keseriusan ISMA dalam mengambil isu politik sebagai salah satu cabang dakwah ini. Ya, politik dan Islam tidak dapat dipisahkan. Tetapi janganlah kita mempolitikkan agama itu. Sampaikanlah Islam yang sebenar seperti yang diturunkan oleh Rasulullah s.a.w. Berpeganglah dengan had dan batas orang Islam sepanjang melibatkan diri dengan politik. Janganlah menggadaikan prinsip Islam semata-mata menggunakan alasan untuk kemenangan Islam, sedangkan dalam masa yang sama kita sebenarnya sedang menggadaikan maruah umat Islam secara halus.

Saya percaya ISMA akan menjadi kuasa ketiga dalam arena politik negara. Negara kita perlu kepada kuasa ketiga yang akan memecahkan blok pemikiran masyarakat daripada memandang jika tidak A maka B kepada A dan B demi Islam. Bersatu tidak bermakna satu. Sepakatlah dalam perkara-perkara yang menguntungkan Islam. Ingatlah wahai duat sekalian, taruhan kita bukan sekadar membina negara tetapi memartabatkan Islam. Sekiranya negara berjaya dipimpin oleh kerajaan yang lebih baik sekalipun tetapi Islam dan prinsipnya tergadai, tiadalah gunanya. PRU 13: siapa yang akan menang? Jika pembangkang, adakah Islam akan dijulang terus? Jika kerajaan, bagaimana pelaksanaan Islam, adakah akan bertambah baik? Panjang lagi kisah ini, kerana itu saya katakan jalan ini masih panjang.

Tidak berniat untuk mengulas panjang. Ingin berkongsi kalam seorang murabbi yang saya terbaca usai selesai pembacaan saya tentang pengumuman ISMA menubuhkan biro politik.  Moga kesemua penggiat dakwah di Malaysia terus dituntun oleh Allah.

Kalam pengerusi ISMA Mesir:

Assalamualaikum
Semoga semua ahli ISMA sentiasa berada dalam rahmat Allah swt.

Berikutan penubuhan Biro Politik ISMA; beberapa perkara perlu kita ambil kira dengan serius dan tekun. Oleh itu, taujih ini ditujukan kepada semua untuk manfaat bersama:

1. ISMA serius dalam melaksanakan tujuan dakwah iaitu menegakkan pemerintahan Islam di atas muka bumi secara berfasa; peringkat-peringkat amal seperti yang kita fahami dalam tulisan Imam Al-Banna.

3 tanggungjawab Daulah Islamiyah yang sedang kita pikul ialah: 1) Dakwah kepada Islam 2) Islah masyarakat dan 3) Jihad dengan maknanya yang syumul iaitu bukan sahaja terhad kepada jihad al-Qital tetapi ianya adalah memenangkan Islam, membalas tohmahan ahli batil dan penindasan orang zalim serta menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran 

(Usul Iftak, Ar-rasyid)

2. Tanggungjawab mencalonkan diri kita untuk memimpin pandangan umum tentang politik Islam adalah fardhu ain. Oleh itu,bebanan semakin meningkat dan inilah sunnah jalan dakwah. Hanya mereka yang ikhlas dan benar janjinya kepada Allah swt akan mampu menjadi barisan Ansarullah. Berusahalah sedaya upaya untuk melayakkan diri dengan meningktkan taqwa, memahami fikrah, menjaga amal fardi (sumber kekuatan) berdakwah dan menyumbang potensi untuk maslahah dakwah dan Islam. Detik untuk kita menjawab soalan dari Allah swt semakin dekat, maka persiapkanlah diri dengan jawapannya. Zaad ‘ala Toriq.

3. Peningkatan dan kematangan kefahaman dan penglibatan kita dalam ISMA adalah bergantung sejauhmana kita komited dengan manhaj Tarbiyyah (jilsah, katibah,daurah dan segala wasilah yang lain). Usahlah culas dalam membaca dan menulis nota jilsah kerana itu hanya menunjukkan kemalasan diri. Kuasai bahasa Arab dengan sebaiknya kerana itulah kunci fikrah ini. Kembangkan dan serlahkan potensi peribadi. Kalian semua adalah bakal pemimpin ISMA suatu hari nanti. Jundiyyah toriqul Qiyadah.

4. Akhir sekali, bebaskan dirimu daripada belenggu maksiat dan kelalaian. Sudah tiba masanya untuk sedar dan bangkit segera daripada tidur yang lena kerana syurga itu mahal harganya. Wallahi, sangat mahal harganya wahai Ikhwah. Hanya yang mampu membayar sahaja yang bakal memasukinya. Segala masalah peribadi tidak boleh memberi kesan negatif atau melambatkan perjalanan harakah. Engkau telah dicalonkan untuk suatu urusan yang agung, maka hindarkan dirimu daripada perkara remeh temeh. Umar al-Khattab mengutus surat peringatan kepada tentera Amru Al-As yang mengambil masa yang lama untuk membuka Mesir; maksiat dan dosa ahli ISMA boleh jadi sebab kelewatan kemenangan. 

Moga Islam akan kembali berdaulat diatas tulang belulang kita semua.

Wassalam.

Wassalam juga dari saya 🙂 Esok exam, mengantuk, maka saya gantikan secawan kopi kepada sebuah entri (saya dah jumpa hobi baru). Off!

3 bulan 25 hari

Kehadapan diri yang merupakan pinjaman sementara,

Kurang seminggu tempoh “hibernasi” ini akan berakhir. Tempoh yang diperuntukkan untuk saya fokus terhadap tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Coretan ini bukanlah sebuah luahan tetapi sebuah pengajaran yang saya boleh jadikan bekalan untuk perjalanan hidup yang tidak tahu bila penghujung-Nya.

3 bulan 25 hari; tempoh yang mencukupi untuk seorang ibu mengandung melepasi fasa pertama kehalimannya, fasa yang memenatkan. Begitulah juga perasaan saya. Ia satu tempoh yang cukup untuk saya menilai diri saya sendiri setelah 6 tahun setengah berada di sini, penat, kerana bersabar dengan diri sendiri. Saya memang rasa tidak cukup kuat untuk berada di Malaysia. Saya memang rasa zatiyah saya berada di tahap minimum, malah sifar mungkin.

3 bulan 21 hari yang lepas, saya memulakan “percutian” ini dengan semangat yang sangat tinggi. Rasa mampu dan cukup dengan apa yang ada di dalam dada. Sebulan berlalu, peperiksaan belum bermula tetapi hati sudah tidak sekuat sebelumnya, amal fardi cuba digagahi kerana itu sahaja bekalan yang ada untuk diri sendiri menempuh lagi 2 bulan dan 25 hari.

3 bulan 21 hari ini dilalui dengan fasa turun naik. Kekadang diziarahi “cinta hati” yang selalu dirindui  tetapi segan untuk minta diintai selalu kerana mereka ada kesibukan masing-masing. Kekadang diziarahi air mata yang tidak berhenti mengalir berhari-hari (minta maaf ahli beit sebab takde jawapan kenapa). Sepanjang fatrah inilah, sangat dirasakan bahawa ikatan dan perjuangan yang selama ini dilakukan diikat kepada siapa dan kerana apa. Jika selama ini, usaha dan setiap huluran itu mengharapkan pandangan manusia, maka akhirnya ketika tiada manusia ingin melihat, kita akan hanyut dan tersesat. Tetapi jika setiap urusan semua dikembalikan kepada sebab dan tujuan, susah dan senang dikembalikan kepada Yang Maha Esa.

Setelah 3 bulan 21 hari, kata-kata tidak selancar dahulu, bahasa tidak sekaya dahulu, akhlak tidak setenang dahulu, ukhuwah tidak pandai dihulur seperti dahulu, adab apatah lagi; seumpama pelajar akhlak tahun 1. Ibarat bakal memulakan kehidupan baru dalam 4 hari akan datang. Rasa seperti dilahirkan semula dan mendapat peluang kedua. Rasa seperti ingin belajar menjadi seorang housemate seperti hari pertama menjejaki rumah ini, rasa seperti ingin belajar menjadi seorang ukhti seperti hari pertama disapa oleh murabbi, rasa seperti ingin belajar menjadi seorang daie seperti hari pertama diketuk tentang tujuan hidup ini dan bertekad ingin memanfaatkan 3 bulan yang berbaki dengan kenangan yang boleh diingati untuk 30 tahun akan datang. Mungkin, akan saya catat di sini sebagai sumber kekuatan di masa akan datang. Sungguh, kadang2 merasakan bahawa “percutian” yang terlalu lama ini seakan sebuah “kematian”. Tetapi ia tidak applicable untuk semua orang kerana peribadi setiap satu daripada kita berbeza.

Inilah penangan ; اجلس بنا نؤمن ساعة

Pengajaran buat saya, saya simpan dalam hati dahulu. Semoga kuat untuk menempuh lagi 4 hari! Putuskan segala usaha dan berharaplah pada rahmat Yang Maha Esa, moga Dia memberikan yang terbaik buat diri, iman dan islam saya.

Image

Jika diibaratkan dunia ini seperti padang pasir, yang dihujungnya ada sebuah taman yang indah. Kita adalah musafir yang perlu melintasi padang pasir ini untuk ke taman itu, kadangkala kita perlu berehat di bawah teduh bayangan bukit agar tidak diserang “heat stroke” kerana terlalu panas. Tetapi rehat itu hanya sebentar cuma kerana sebuah keindahan menanti di hadapan.

Moga Allah beri kekuatan untuk meneruskan perjalanan. Terima Kasih Allah!

Malaysia Oh Tanah Airku (bahagian 2)

Malaysia, inilah tanah yang akan saya berjuang didalamnya walau beribu kekotoran telah terpalit di “wajahnya”.

Hampir kesemua pihak menjadikan politik itu sebagai mainan. Kenapa mainan? Kerana tujuan masing-masing hanya untuk mengejar kerusi dan kuasa tanpa mengingati kembali konsep perjuangan politik Islam yang sebenar itu bagaimana.

Kaum selain Melayu, yang dihadiahkan kewarganegaraan suatu ketika dahulu sudah semakin berani untuk meminta peha lebih daripada betis yang telah diberikan. Namun masih banyak pihak yang tidak menyedari rancangan licik ini, dan mempertahankan kesama-rataan hak sedangkan hak mereka telahpun dipenuhi. Sibuk menjaga hak orang lain, hak kita bagaimana? Jangan satu hari nanti, hendak berhijab menjadi susah, baru nak terngadah menuntut hak sudahlah.

Malaysia oh tanah airku. Akuilah bahawa serangan liberlisme sudah semakin hebat, jangan menidakkan ia dek kerana konsep perjuangan yang berbeza.

Malaysia Oh Tanah Airku (1)

Bismillahirrahmanirrahim

::Sepertimana ombak dan batu tidak dapat dipisahkan, begitu juga saya dan seni, baik seni membaca al-quran, seni bahasa, seni muzik mahupun seni tulisan. Cuma seni lukisan sahaja yang memerlukan sedikit masa lagi::

Image

Prinsip saya, bila perut kosong, ada pantang larang makannya. Jangan langgar atau akan menyebabkan sakit perut yang berlanjutan sehingga membuatkan badan menjadi lemah dan ibadah menjadi kurang khusyuk.

Jadi, bila blog kosong dan dipenuhi sawang, saya tak berhasrat untuk memberi dos yang besar. Cukup saya rasa sekadar memberi sesuatu yang menjentik kesedaran qalbu saya detik ini tentang tanah air yang saya cintai. Ya, saya amat cintai tanah air saya kerana di situlah tempat saya tinggal dan tempat berteduh di dunia yang Allah pinjamkan, di situlah juga Allah temukan saya dengan kelompok manusia yang bernama keluarga, rakan2, sahabat seperjuangan serta dakwah dan tarbiyah.

Inilah sedikit kisah Malaysia Tanah Airku..

———————————————————————————————

Puji dan syukurku pada Ilahi
Anugerah-Nya tiada terhingga
Kedamaian kemakmuran
Malaysiaku bahagia
……………………………………………………

Alhamdulillah syukur nikmat
Malaysia maju rakyat selamat

Dua bait daripada lagu2 Malaysia yang kian dilupakan

Lagu-lagu negara dahulu mempunyai mesej-mesej ketuhanan
Ia sedikit sebanyak menanam unsur ketuhanan sekaligus cinta kepada tanah air
Pergantungan kepada Tuhan dalam menjaga tanah air
Dan kesyukuran kepada Tuhan yang mengizinkan Malaysia aman

Namun kini kebanyakannya menanam rasa cinta semata-mata
Hasilnya jelas, makin ramai yang tidak cinta kepada tanah air
dan saya kira Malaysia juga semakin tidak aman
bukan setakat perbalahan dalaman malah kuasa luar yang menyerang namun tiada siapa yang perasan
Bukti terhalus, penghasilan lirik lagu yang dikaburan dengan keindahan susunan melodi

———————————————————————

Selaku pencinta seni saya sedih dengan perkembangan seni di Malaysia.

Ada masa saya sambung lagi insyaAllah.

mimpi apa?

Musim-musim exam ni mesti ramai yang doa, moga-moga Allah ilhamkan dan mimpikan soalan-soalan yang akan masuk exam kan? InsyaAllah, Allah itu sentiasa bersama sangkaan hambaNya.

أنا عند ظن عبدي بي إن ظن خيرا فله وإن ظن شرا فله
ertinya: Aku bersama sangkaan hambaku padaku, jika sangkaannya baik maka baiklah baginya, dan jika sangkaannya buruk maka buruklah baginya.(HR Ahmad)

Hmm, dalam banyak-banyak minta tu, moga seiring dengan memberi juga hendaknya, supaya graf pemberian dan penerimaan nikmat itu bersifat parallel  walaupun sebenarnya dan hakikatnya nikmat itu jauh lebih besar dan banyak serta tidak terhitung oleh jari malah akal fikiran.

Dalam ramai-ramai, ada tak antara kita yang mohon untuk bermimpi soalan di alam qubur? Hmm, soalan dah bocor pun. Tapi belum tentu lagi boleh jawab macam skema yang bocor. Sama macam exam. Bezanya dalam imtihan dunia, tak dapat jawab sebab lupa, dalam imtihan kubur tak dapat jawab sebab culas dalam amal, maka amal puntak menyokong kita, na3uzubillah.

Atau ada antara kita dalam doanya yang bersungguh setiap hari itu sentiasa dititipkan agar Allah mengizinkannya untuk menjaga qiam setiap hari. Kerana di saat inilah hamba-hamba itu bersendiri, menyerahkan segalanya kepada Ilahi, meluahkan rasa-rasa yang terbuku di hati, memohon penyelesaian untuk segala kesulitan, mencari jawapan untuk semua kekusutan, meluahkan segala lelah dan gundah. Kemanisan ini sukar untuk dirasai bagi yang kurang menghayati apatah lagi yang kurang mencuba. Cubalah, pasti kita akan merasai kemanisannya. Hebatnya para sahabat dilihat pada kekuatan mereka, dan kekuatan mereka adalah gambaran keimanan mereka, keimanan mereka adalah hasil qiam tanpa penat mereka. Kerana itu, Jibril AS berwasiat kepada Rasulullah,

Hiduplah kamu sebagaimana yang kamu kehendaki, tetapi ingat bahawa kamu akan mati.
Cintailah sesiapa yang engkau kehendaki, tetapi ingat bahawa engkau akan berpisah dengannya.
Buatlah apa sahaja yang engkau kehendaki, tetapi awas kamu akan dibalas atas apa yang dilakukan itu.
Dan ketahuilah bahawasanya kemuliaan orang beriman itu terletak pada Qiamullailnya dan kehebatannya bila dia tidak bergantung pada orang lain.

Moga usaha untuk imtihan sehebat usaha untuk menjaga qiam malah lebih hebat hingga terbawa-bawa dalam mimpi!

Mohon doa semua~

sebuah kehidupan 2

Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk terus menulis, moga ada pengajaran yang dapat diambil sekurang-kurangnya buat diri saya. Cerita sepanjang cuti percuma akan disambung bersama ibrah yang dapat diambil, yang saya kira merupakan sebuah kehidupan buat saya. Di dalamnya terdapat gembira, kecewa, sedih, berharap, pasrah dan redha, segala perasaan bercampur-baur. Yang pasti, sangat-sangat mendekatkan diri dengan Allah bagi mereka yang melihat ujian ini sebagai hikmah. Bukan ke semua perkara adalah terbaik untuk seorang mukmin?!!

Hidup=Tarbiyah=Dakwah

Hari terakhir menemani akhawat Jordan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, saya mendapat panggilan untuk berkemas serta bersegera pindah ke Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah sesegera mungkin sebelum zuhur. Keinginan untuk terus menemani akhawat dikuburkan dan bergegas pulang ke rumah usai membekalkan mereka stok makanan dan selimut yang kami harap dapat membantu mereka sedikit sebanyak.

Tidak banyak yang dapat diambil. Sebuah buku medik dan beberapa buku “makanan rohani” kerana saya kira itu yang sangat saya perlukan saat tiada pergantungan lain selain Allah. Sungguh, tanpa mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya, apa langkah yang akan dan telah disusun oleh pihak bertanggungjawab. Bersama dengan ahli beit (housemate), kami mencapai beberapa bekalan makanan untuk seminggu dan terus ke DMAK memandangkan waktu berkurung terus disingkatkan hingga ke pukul 2 petang. Keadaan sangat runcing pada ketika itu. Manusia akan mula bersesak-sesak menuju ke Medan Tahrir sejurus selepas habis waktu bekerja. Malah ada yang sanggup  bermalam dan bersejuk di Medan Tahrir dek kerana ditolak oleh tekanan yang mereka hadapi sejak 30 tahun yang lalu. Bunyi peluru pemedih mata sudah mula diganti oleh bunyi tembakan peluru hidup. Korban berhampiran rumah kami semakin meningkat. Kedai kebanyakan daripada masanya ditutup. Alhamdulillah, hati masih tenang cuma tidak dapat menjangka apa akan terjadi dalam masa beberapa hari kerana masih pada waktu itu rejim HM masih belum mahu mengundur diri.

Tiba di DMAK, alhamdulillah saya bersama Kakak K dan Kakak R dapat menumpang di bilik adik2 tahun 1 Medic Azhar. Ada kisah kelakar di sebalik cerita ini. Bukan kerana seniority kami bersama tapi entahlah, pada waktu itu rasa ingin bersama dengan sumber kekuatan. Mungkin kerana tidak tahu apa yang bakal terjadi tetapi sekurang-kurangnya dengan bersama, saya tahu dengan siapa saya akan lalui setiap perkara yang akan berlaku seterusnya, biiznillah. Melompat-lompat kami apabila diumumkan nama bilik. Kami diberi pilihan untuk memilih teman ketika pembahagian bilik. Apabila bilik 314 diumumkan, dan boleh diisi oleh 3 orang, kami terus melompat. Segannya, usah nak kira. Lepas lompat tu, saya terus berbisik, “akak, saya rasa macam semangat pulak orang tua macam kita ni, mengalahkan adik2 tahun 1”. Takpelah, dalam matang kami masih ada sudut anak-anak itu. Bukankah ciri keanakan itu kadangkala diperlukan dalam diri seorang wanita?!! Oh, mungkin tidak diulas di sini.

 فَعَسَىٰٓ أَن تَكۡرَهُواْ شَيۡـًٔ۬ا وَيَجۡعَلَ ٱللَّهُ فِيهِ خَيۡرً۬ا ڪَثِيرً۬ا

“Maka boleh jadi kamu tidak menyukai sesuatu dan Allah jadikan padanya untuk kamu terlalu banyak kebaikan” (An-Nisa’; 19)

Ayat ini menjadi kekuatan untuk kami menerima aturan Allah yang hikmahnya belum kami lihat. Malam demi malam kami lalui. Keberadaan kami di DMAK dimanfaatkan sebaiknya untuk saling menziarahi. Hampir setiap hari, setiap waktu kami berjumpa. Ada yang mula masak ‘extra’ dan mengajak ahli bilik lain makan bersama. Pendek kata, kami cuba mencari sesuatu untuk diberi di saat Allah memberi kami waqfah (perhentian) untuk kami perbaharui iman kami serta memuhasabah diri kami.

ڪَبُرَ مَقۡتًا عِندَ ٱللَّهِ أَن تَقُولُواْ مَا لَا تَفۡعَلُونَ 

“Sesungguhnya Allah murka kepada sesiapa yang berkata-kata tetapi tidak melakukannya” (As-Saff; 3)

Ya, di sinilah kami menghayati ayat ini. Menasihati untuk saling berziarah, saling memberi walau tidak ‘diberi’ pada sesetengah ketika. Mengajak manusia menghayati al-Quran kalam Rabb yang menghantar ujian menggantikan filem-filem dan novel rekaan manusia yang membuatkan kita kurang mengambil pengajaran dengan alam sekeliling. Mempelawa manusia untuk sama-sama hanyut dalam alunan takbir bersama 5 waktu setiap hari. Menjemput manusia untuk memenuhkan tandas dan tempat mengambil wudu’ sejurus selepas azan berkumandang. Sungguh, di sini kami menghayati 2 kekuatan utama duat iaitu kekuatan iman dan kekuatan kesatuan. Benar seperti yang diulas oleh Imam Syahid di dalam Risalah Muktamar yang Kelima, bahawa tanpa kekuatan-kekuatan asasi ini umat Islam tidak akan dapat menguasai keadaan. Di sini juga kami belajar untuk menjadi seperti biji benih yang bermanfaat,

Dicampak ke darat menjadi bukit

Dicampak ke laut menjadi pulau

Inilah hakikat kehidupan seorang daie. Seperti singa yang sering mencari mangsa dan berani mempamer taring kebanggaannya. Bukan seperti anak kijang yang sentiasa dalam ketakutan, takut dibaham oleh singa yang berani. Pasti, ianya bermula dengan rasa segan dan takut, kerana itulah Allah hantar ukhti-ukhti untuk saling menguatkan. Barakallahu fiikunna ya akhawati.

Bumi yang dirindui

Menaiki penerbangan ketiga (seingat saya) untuk ke Jeddah. Alhamdulillah layanan pihak MAS sangat memuaskan walaupun terpaksa menunggu beberapa jam di lapangan terbang tetapi saya merasakan penantian kami berbaloi.

Refleks: jika penantian di bawah cahaya matahari yang terik, tanpa sebarang bekal makanan, akhirnya dibalas dengan penerbangan ke Jeddah yang layanannya sangat selesa. Bagaimana pula dengan penantian yang penuh debaran di Mahsyar kelak yang belum tahu lagi apakah pengakhirannya?! Malah belum tahu apakah tiket untuk mendapat layanan yang selesa itu diluluskan dan diterima atau tidak?!

“Ya Allah, Sesungguhnya kami memohon redhaMu dan balasan syurga Firdaus-Mu yang tertinggi serta jauhkanlah kami daripada azab api neraka”

Berada di bumi yang dah lama saya rindui membuatkan segala tekanan tidak dirasai. Alhamdulillah Allah dengar rindu saya, Allah izin saya untuk menjejak kaki ke sana dengan percuma walau tidak dapat memberi salam terus kepada kekasih-Nya di Raudhah. Walaupun terpaksa beratur hampir 4 jam untuk urusan visa tetapi penantian itu diiringi dengan doa yang tidak putus. Di tempat Muslim dari seluruh dunia bersatu selama beberapa hari, tanpa mengira pangkat, harta, warna kulit, saya merasakan peluang itu cukup berharga. Belum lagi diizinkan untuk melihat Tanah Haram itu. Sangat rindu. Sampaikanlah kami kepadanya Ya Allah. Juga sangat merindui kekasih Allah di situ. Sangat teringat segala perjuangan baginda yang susahya berkali ganda dan tidak terbayang.

Kami ditempatkan di Madinatul Hujjaj, tempat penginapan jemaah haji di musim haji. Alhamdulillah bilik sangat selesa tetapi sedih dengan sedikit ‘keserabutan’ yang berlaku di saat penerbangan dari Mesir bertali arus. Madinatul Hujjaj dibanjiri manusia dalam sekelip mata. Sehingga ada bilik sangat padat dan kehidupan menjadi sangat tidak selesa bagi sesetengah daripada mereka. Kami cuba yang terbaik dan kami teringin untuk mengajak sebilangan daripada mereka untuk bersama kami, tetapi takut mengganggu urusan logistik, kami faham urusan adhoc ini sangat perlu banyak tolak ansur jadi mana yang termampu kami ajak terutamanya dalam urusan penggunaan tandas kerana masalah air yang agak ketara. Moga Allah beri kemudahan di masa akan datang dengan datangnya tunjuk ajar untuk kali ini.

Jeddah di waktu malam, cantik kan??

Seterusnya bermulalah kehidupan di Jeddah selama 4 hari. Bagai dipam-pam, diberi makan setiap hari. Seorang demi seorang pulang ke Malaysia. Ada yang membeli tiket sendiri. Ada yang memang Allah rezekikan namanya dipanggil awal. Dan alhamdulillah setelah 4 hari, nama saya dipanggil dan menaiki penerbangan bersama ahli beit saya itu juga. Mungkin waqfah ini juga Allah izinkan saya untuk mengenali ukhti yang baru 3 bulan saya hidup bersamanya.

Melalui perhentian ini juga, nasihat abah selalu di ingatan. Dalam ayat sendiri (sebab tak ingat dan tak pandai naqal@pindahkan kata-kata orang), “Biarlah Allah tentukan apa yang terbaik, ikut sahaja flow yang Allah hidangkan di hadapan mata. Selagi tiada perkara yang membahayakan nyawa, insyaAllah ada hikmahnya”. Dari awal saya tidak mahu pulang dan tidak rasa unutk membeli tiket sendiri, begitu juga ummi dan abah. Mungkin ada hikmah besar yang Allah nak tunjuk.

~ Umumnya, sangat mengajar untuk beriman dengan qada’ dan qadr. Ujian Allah itu pasti hadir. Hanya iman yang mampu membatasi kemampuan. Tiada kemampuan yang dapat dinilai manusia kerana Allah lebih mengetahui kemampuan hambaNya itu, kerana itu Allah menurunkan ujian. Bukankah kita dicipta olehNya?! Pasti Dia lebih tahu kan?!

~ Mengimani bahawa tiap ujian itu pasti ada hikmah samada teladan mahupun sempadan. ( Yang melepak tiap malam sampai pagi, hisap shisha, Lambat solat tu jadikanlah sempadan ye )

~ Memperbaharui iman setiap kali lepas solat bersama ahli bilik, jazakillah adik2, moga Allah memudahkan urusan kalian dunia dan akhirat

~ Menguatkan ukhuwwah sesama ukhti yang saling menguatkan

~ Memperbaharui ukhuwwah dengan adik2 yang sering diabaikan ketika alpa dengan urusan harian sebagai pelajar, dan ketika diri sibuk mencari alasan sedangkan mereka ada hak untuk diziarahi

~ Penantian yang sangat sedih dan pedih kerana tidak mengetahui apa natijahnya sangat refleks dengan penantian di Padang Mahsyar. Jika keputusan dalam Ops Piramid ini adalah nikmat sementara, di sana nanti ianya kekal selamanya.

~ Hak Quran untuk dibaca, dihayati dan diamalkan lebih dapat dijaga

~ Berjumpa dengan akhawat yang jarang untuk dijumpai seperti Alex, Tanta dan Mansura dalam jarak yang sangat singkat. (Mereka kongsi pengalaman naik Charlie 🙂 )

Dan terlalu banyak pengalaman yang sukar untuk diceritakan. Boleh sembang panjang untuk yang berminat. Sekali lagi, bukan untuk menzahirkan amalan yang telah dilakukan, ianya sekadar catatan peribadi bagaimana pandangan saya terhadap situasi yang telah dilalui. Mungkin memberi pencerahan pada sesetengah pihak tetapi sebenarnya lebih kepada peringatan buat diri saya sendiri di masa akan datang, di saat saya mencari kekuatan, sebab saya ni cepat lupa:D. Tetapi saya sangat merasakan bahawa tarbiyah Allah itu sangat dekat sepanjang fatrah ini. Dan saya juga merasakan kalian semua turut merasainya.

Moga Allah terus izin kita untuk merasai nikmat ini hingga ke akhir hayat kita.

“Ya Allah, tetapkanlah kami di atas jalanMu, tetapkanlah kami dalam ketaatan kepadaMu dan tetapkanlah kami di atas jalan jihad untuk agamaMu”

pesanan ummu hakim..

bismillahirrahmanirrahim..

Belum pun sempat mengarang sambungan cerita sebuah kehidupan, dah tertarik dengan sebuah artikel, “pesanan ummu hakim kepada puterinya”. Senang distract kan saya ni. Baru dua minggu lepas menghadiri walimah ukhti nazihah, minggu ni pula akad ukhti rodhiah, jadi saya copy artikel ini buat tatapan akhawat tersayang yang sedang bersedia menjadi sayap kiri pejuang Islam mahupun yang telah, moga Allah membantu urusan dunia dan akhirat, D n T.

” Anakku, engkau akan meninggalkan suasana tempat engkau dilahirkan, engkau akan meninggalkan sarang tempat engkau dibesarkan dan berpindah ke sarang lain yang belum pernah engkau kenal.”

” Engkau memperolehi teman hidup yang belum biasa menemanimu. Ia menjadi berkuasa ke atas dirimu dan menjaga kehidupanmu. Kerana itu hendaklah engkau dapat menempatkan dirimu sebagai hambasahaya baginya, dan dengan demikian ia akan menjadi budak bagimu.”

” Anakku, perhatikanlah beberapa sifat utama yang ku pesankan kepadamu, kerana hal itu akan menjadi bekal atau simpanan yang baik bagimu :

1) Temanilah suamimu dengan cara hidup sederhana, merasa cukup dengan apa yang ada, dan bergaullah dengan baik dan patuh.

2) Jagalah dirimu di hadapan matanya dan depan hidungnya agar engkau tidak kelihatan buruk dalam pandangannya, dan jangan sampai ia mencium bau yang tidak sedap dari badanmu. Bercelaklah kerana celak merupakan hiasan terbaik. Ketahuilah bahawa air adalah pengganti terbaik minyak yang tidak engkau punyai.

3) Perhatikanlah dengan baik waktu makan suamimu dan jagalah ketenangan di waktu ia sedang tidur, kerana rasa lapar akan menimbulkan kemarahan dan tidur yang terganggu biasanya juga membangkitkan kemarahan.

4) Jagalah keamanan rumahnya dan keselamatan hartanya serta peliharalah kehormatan suamimu dan hormatilah angota-anggota keluarganya. Sebab dengan menjaga keselamatan harta bendanya engkau akan mendapat penghargaan, dan dengan menghormati anggota-anggota keluarganya engkau akan mendapat perhatian yang baik.

5) Jangan sekali-kali engkau membicarakan rahsia suamimu dengan orang lain dan jangan pula engkau menentang perintahnya; kerana jika engkau menyebarkan rahsianya engkau tidak akan jujur terhadap dirimu, dan jika engkau menentang perintahnya ia akan marah kepadamu.

6) Janganlah engkau gembira di saat ia sedang merasa sedih, janganlah pula engkau kelihatan sedih bila ia sedang bergembira. Sebab yang pertama itu menunjukkan kependekan fikiranmu sedang yang kedua dapat mengeruhkan fikirannya.

7) Jadilah engkau orang yang paling menghormati suamimu, ia pasti akan menjadi orang yang paling besar memberikan penghargaan kepada dirimu. Jadilah engkau orang yang paling mudah menyetujui pendapatnya, ia tentu akan menjadi orang yang paling lama menemani hidupmu.

” Ketahuilah engkau tidak akan dapat memperolehi keinginanmu sebelum engkau mengutamakan kesukaannya daripada kesukaanmu sendiri dan lebih mengutamakan kesenangannya daripada kesenanganmu sendiri, baik dalam hal-hal yang engkau sukai mahupun yang engkau tidak sukai. Semoga Allah menunjukkan pilihan yang baik bagimu.”

 

Buat ukhti nazihah, ukhti rodhiah, ukhti sarah rashid(dulu hani suka cakap muka kami iras), dan mempelai-mempelai yang lain.

Barakallahulakuma wa baraka ‘alaikuma

wa jama’a bainakuma fi khair..

sesungguhnya, mencari yang halal itu jihad~ =)

Allahua3lam.

sebuah kehidupan

bismillahirrahmanirrahim..

hari ini genaplah hari ke-13 saya berada di Malaysia. tempoh yang saya rasa sangat panjang sedangkan masih belum banyak lagi perkara yang dapat dilakukan seperti yang dirancang. lama rasanya ‘bercuti’, iyelah, di Mesir semuanya dalam mood exam kecuali kami,tahun 5 yang exam satu paper sahaja, awal bulan pulak tu. lepas tu, tanggal tarikh keramat 25 jan (bukan sahaja buat rakyat mesir malah saya juga *wink*), bermula satu perjalanan yang zahirnya kelihatan mencabar namun cabaran yang sebenar bukanlah lahiriah tetapi batiniah lebih-lebih lagi buat orang Malaysia seperti saya yang sangat mencintai bumi tarbiyah itu. walaupun 25 januari hingga 4 februari saya berada di celah ‘kota kebangkitan’ itu, saya dapat merasakan detik-detik yang berlalu amat berharga. nanti saya ceritakan dengan ringkas sedikit sebanyak yang berlaku.

adik2 itu

ketibaan tetamu dari jordan dinanti dengan penuh persediaan. segalanya dirancang dengan baik diiringi doa moga perjalanan mereka bakal menjadi sebuah jaulah yang lebih mendekatkan mereka dan juga kami kepada Allah serta menambahkan lagi rasa cinta mereka kepada tarbiyah. mereka sempat bersiar-siar di sekitar alex, piramid serta qaryah firaun. juga sempat meluangkan masa ke qal3ah dan hussein (ke hussein beberapa jam sebelum demonstrasi bermula). alhamdulillah, dapat ke beberapa tempat.

tiba 25 januari, kami tidak ke mana-mana. menghabiskan masa dengan membedah buku di rumah Nada. sekali-sekala mata terasa pedih dek kerana gas pemedih mata yang turut sampai ke rumah kami. namun itu bukanlah halangan untuk buku “falnabda’ bianfusina” (maka kita mulakan dengan diri kita sendiri) terus dibedah, semuanya kelihatan khusyuk mendengar dan kami pula khusyuk memasak walau kekadang terasa sukar untuk bernafas.

alhamdulillah, selepas zuhur buku selesai dibedah,bermakna adik2 free pada petang itu. maaf terpaksa mengecewakan adik2 yang meminta untuk keluar  kerana keselamatan adik2 lebih penting daripada kepuasan adik2 di saat itu. semuanya sedang bersiap. “akhawat, takpe tak kalau akak minta supaya akhawat tak keluar”, frasa yang sukar sangat untuk diluahkan. tetapi kerana sayang fillah, diluahkan juga. akhirnya, hanya membenarkan 2 orang sahaja dengan ditemani ukhti zetty dan ukhti aneesa.

maaf akhawat sayang.

sudahlah tak dapat ke maqam2 seperti yang diminta malah dikurung di rumah. mujur adik2 selesai panjat sinai sebelum 25 januari, kan?! sekurang-kurangnya akhawat dapat melihat kekuasaan Allah dalam menunjukkan jalan kepada umat manusia, samada mahu mewarisi nabi musa atau firaun laknatullah.

“Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan (kebajikan dan kejahatan)” – AlBalad; 10

itu sudah mencukupi bagi akak, walaupun akak faham, bukan selalu adik2 datang ke mesir. takpe, tahun akhir nak datang lagi kan?!!

waktu itu..

berlalu beberapa hari, tibalah hari kepulangan adik2 itu ke jordan: 29 januari 2011. oh ye, sehari sebelum tarikh pulang, saya telah membawa keluar adik2 tu ke city star. walaupun dimarahi alhamdulillah saya rasa puas dapat membelikan cenderahati untuk adik2 tu.

maaf akhawat, ana tahu akhawat bukan marah saja2 tapi ana ni memang keras kepala kan??!! Asifah jiddan.

bertolak dalam pukul 10 lebih; terkejut melihat deretan kedai yang dipecahkan dipercayai perbuatan banduan yang terlepas, dalam perjalanan jalan-jalan tidak lagi dikawal oleh polis tetapi tentera yang telah mengambil alih, bangunan-bangunan kerajaan dibakar, trak-trak polis yang kami jumpa kesemuanya hangus di tengah jalan kecuali 1 kerana terletak di jalan besar ke arah city star (di awwal abbas), bangunan polis sayeda zainab dikerumuni penduduk hangus terbakar tinggal rangka. kagum dengan semangat yang ada walaupun sebenarnya perkara tersebut lebih merugikan negara tetapi itulah cara mereka, itulah gaya mereka. jika tidak begitu, tiada yang akan membuka mata.

tepat pukul 1, usai saya menunaikan solat zuhur, kami dihalau keluar dari city star. rupanya perintah berkurung dimaksimakan seawal jam 4 petang. kami berkejar pulang. berpuluh teksi kami tahan, kesemuanya menolak. akhirnya terpaksa mengambil teksi dengan bayaran yang agak mahal. sekali lagi, kami dipertemukan dengan sekumpulan lelaki yang sedang mengumpul orang, berarak ke arah bandar sebagai tanda demonstrasi akan bermula untuk hari tersebut. di hadapan masjid rabiatul adawiyah, demonstrasi telah bermula. “MUBARAKS OUT OF EGYPT”. kertas-kertas bertulis frasa tersebut dipegang oleh pemuda dan pemudi di sekitar masjid rab3ah tersebut.

penerbangan mereka dijadualkan di alex, namun perintah berkurung telah bermula, semua orang tidak dibenarkan untuk keluar dari negeri masing2. kami buntu. tiket tidak boleh ditangguh (polisi syarikat yang pelik). ukhti insyirah menghubungi encik hazam, pegawai keselamatan kedutaan (jawatan yang diperluaskan untuk skuad ini) membincangkan masalah mereka. encik hazam setuju untuk membantu urusan pengangkutan ke airport dan pembelian tiket.

seawal 10 pagi kami bertolak ke airport. manusia ramai dan kelihatan kecil seperti semut, memperlihatkan kekuasaan Allah yang berkuasa menjadikan segala sesuatu. terhimpunlah manusia dari pelbagai negara termasuklah makcik dan pakcik yang datang menziarahi anak-anak dari malaysia yang turut sama terkandas di lapangan terbang. dari pagi hingga ke malam kami cuba untuk mendapatkan tiket. terpaksa membeli tiket baru dek kerana tidak jumpa jalan penyelesaian untuk menyelamatkan tiket lama. sungguh, waktu itu mengajar bahawa dunia ini hanya di genggaman bukan ditanam dan disimpan di dalam hati. akhawat yang sempat mengeluarkan simpanan terus menghulurkan duit untuk membantu membeli tiket yang harganya sama seperti return.

malam itu kami bermalam di airport. pengalaman yang tak dijangka. bersama ukhti insyirah kami bersepakat untuk bermalam di airport disamping mendapat arahan daripada pegawai kedutaan yang membantu kami siang tadi untuk bermalam di airport atas alasan keselamatan. dan kami rasa bahagia sangat dan rasa agak selamat, rasa yang Allah campakkan dalam hati yang ingin bersama kerana sebuah ukhuwwah yang terjalin demi Dia dan untuk Dia.

mencari port untuk berlindung, tidur dikelilingi beg2 bagasi umpama rumah pelarian dah kan akhawat??!, dengan masing-masing meringkuk kesejukan, tidur bertindih antara satu sama lain, sedang ada yang hirosah (berjaga) untuk menjaga beg, ‘mengukur’ airport mencari makanan (tapi lupa berapa km jalan), dan sedih kerana hanya mampu memberi adik2 ni makan snek dan biskut, bukan tidak berwang tetapi makanan habis. keesokan pagi baru dapat beli nasi itupun kami keluar ‘memburu’ selepas subuh.

tangisan seorang ukhti menyedarkan saya, katanya “Allah akan uji kita dengan kata-kata kita“. mahalnya tangisan dia membuatkan saya terasa bahawa dia sangat terkesan dengan ujian yang sedang Allah berikan. kami rasa teruji tapi Allah masih campakkan rasa tenang kepada kami dalam menghadapi ujian tersebut. Alhamdulillah. Allahu musta3an. yang pastinya ayat 155 dari surah al-baqarah ini sangat-sangat ‘sampai’ kepada kami. terasa seolah-olah Allah berbicara di hadapan kami, namun keperitan yang Rasulullah lalui 1000 kali lebih perit untuk dihayati melalui ayat ini.

وَلَنَبۡلُوَنَّكُم بِشَىۡءٍ۬ مِّنَ ٱلۡخَوۡفِ وَٱلۡجُوعِ وَنَقۡصٍ۬ مِّنَ ٱلۡأَمۡوَٲلِ وَٱلۡأَنفُسِ وَٱلثَّمَرَٲتِ‌ۗ وَبَشِّرِ ٱلصَّـٰبِرِين

keesokan harinya, 30 januari, saya dihubungi dan mendapat arahan untuk berpindah ke ARMA. Allah sahaja yang mengetahui kesedihan saya dan akhawat mesir untuk meninggalkan adik2 itu di airport. alhamdulillah mereka berjaya membeli tiket pada 2 februari. bermakna mereka terpaksa bermalam selama 2 hari di airport. saya doakan mereka dapat mempelajari sesuatu sepanjang tempoh itu. moga ukhuwwah mereka semakin bertaut. untuk menghilangkan sedikit kerisauan kami, akhawat berganding bahu memasak dan mengumpulkan selimut-selimut untuk dibekalkan kepada mereka. banyak roti yang akhawat belikan ditambah dengan nasi dan selimut yang mencukupi. kesemua itu dikirim melalui adik atiq yang kebetulan ingin ke airport pagi tersebut.

masha Allah, sangat cantik aturan Allah. saaannggaaaat cantik. disaat kami risau, Allah tunjukkan jalan. buat akhawat,jazakunnallah khairan jaza’. moga Allah membalas dengan sebaik-baik balasan di syurga kelak. terasa manis sangat pengalaman ini. seribu satu pengajaran dapat diambil. dalam sedar atau tidak, Allah sedang mendidik kita. Dia ingin kita lebih dekat kepadaNya. Dia tidak ingin kita menjadi daie yang manja. Dia ingin kita mengorbankan seluruh harta yang ada untuk agamaNya. Dia ingin kita menghayati kekuatan ukhuwwah yang menjadi kekuatan kedua selepas kekuatan iman yang menjadi antara tunjang dalam dakwah ini. Dia ingin kita mengimani tiap aturan Dia yang pastinya menjanjikan kebaikan untuk kita. Dia ingin kita berusaha untuk thabat itu.

قال النبي صلى الله عليه وسلم : ( عَجَبًا لأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ ، وَلَيْسَ ذَاكَ لأَحَدٍ إِلا لِلْمُؤْمِنِ ، إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ، وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ ) رواه مسلم

moga kita sama-sama dapat membaca dan mengambil pengajaran. kerana kita umat yang berfikir.

alamak, senduk dan periuk dah memanggil. entri ini akan bersambung. apakah cabaran batiniah yang saya maksudkan di awal tadi? bagaimanakah tempoh ini saya ertikan sebagai sebuah kehidupan buat saya? nantikan kesudahan sebuah perjalanan yang membina kehidupan.

hadiah buat semua,

sama-sama mengumpul rencah, moga hasil masakan kita untuk dipersembahkan kepada TUAN kita kelak adalah yang terbaik dari kita.

Allahua3lam.

pencarian..

bismillah walhamdulillah

seronok dapat meluangkan masa bersama dengan insan-insan yang berada di hati, yang sentiasa dirindui, ukhti-ukhti yang setia menemani perjalanan yang nyata kesukarannya. jauh sekali untuk melayan rasa penat menghabiskan masa separuh hari di sekolah. inilah nikmat ukhuwwah. sukar untuk digambarkan dengan kata-kata dan hanya yang berusaha mampu merasainya. tidak perlu kepada golongan yang berbeza jantina untuk merasai nikmatnya hidup di dunia. tidak perlu kepada berhabisan wang secara berlebihan untuk menambat hati mereka yang disayangi. kerana ukhuwwah ini fillah, semuanya pasti halal di sisi Allah, tanpa perlu bersusah-susah dan berpayah-payah, terikatlah antara hati-hati yang saling menyayangi.

bersiar-siar di alam maya semalam menjodohkan saya dengan sebuah artikel yang agak menarik untuk dibaca. manakan tidak, rakan-rakan sebaya sudah mula serius bercerita mengenainya. bukan disebabkan umur yang sudah meningkat dan risau “tidak laku” tetapi kerana keseriusan dakwah terhadapnya. masih, ianya bukanlah perkara utama yang disibukkan di dalam minda kerana semuanya hanya aturan Allah. yang pasti, apa yang sedang dihadapi perlu diisi dengan perkara yang terbaik untuk menjadi saksi ketika bertemunya nanti. saya hidangkan kalian artikel ini, moga beroleh manfaat bersama.

Malam ni aku menemui dua situasi, isunya sama, isi dan persepsinya berbeza.

Lepas Isyak, sempat bertemu dengan seorang muslimah yang ingin berbincang soal jodoh. Hadir bersama zaujah dan anak-anakku. Banyak aspek dibicarakan, tapi semuanya berkisar soal calon yang terbaik untuknya membina rumahtangga. Banyak aspek yang dibicarakan… soal fikrah, soal tarbiah dan kemampuan si putera memimpin rumahtangga dan menentukan halatuju perjuangan rumahtangga di masa hadapan. Ini kerana wanita tersebut inginkan lelaki yang menghormati fikrah dan perjuangannya. Bahkan kalau boleh mampu memimpin dia dan anak-anak dalam menunaikan tugas membawa risalah Islam. Tidak banyak yang dibincangkan yang membabitkan soal harta dan keduniaan walaupun semua orang tahu aspek itu juga penting dalam hubungan berumahtangga.

Balik rumah, sambil berehat sekejap, aku sempat mengikuti rancangan di TV yang berkaitan dengan program memilih jodoh. Tak silap aku nama rancangan tu Perfect Match. Aku tak faham sangat keseluruhan program tersebut. Disampaikan dalam bahasa Mandarin. Kalau tak silap aku rancangan tersebut dianjurkan di negara China. Aku bergantung pada subtitle untuk memahaminya. Formatnya seorang lelaki akan memilih calon isteri dari puluhan wanita yang mendaftar dan terlibat dalam rancangan tersebut.

Rata-rata perbincangan, persoalan dan bentuk pilihan wanita-wanita dan lelaki tersebut berorientasikan material, pekerjaan, kewangan, pelancongan dan keseronokan… kalaupun ada aspek moral yang dibincangkan tapi bukanlah menjadi perbincangan pokok. Tidak mengapalah, mungkin budaya mereka memang begitu. Mereka memahami hidup ini dan alam rumahtangga sekadar untuk menyempurnakan keperluan fizikal, biological dan material. Lagipun sudah jadi lumrah, pasangan serasi itu apabila impian dan kemahuan mereka juga serasi. Tukang masak pasti akan mencari dapur, periuk dan belanga dan keperluan memasak… jurubina akan mencari batu, pasir dan simen… perfect match… sekufu. Tukang masak akan masuk kedai yang menjual alat-alat memasak, jurubina akan masuk kedai hardware… dekat situ mereka akan temui pasangan impian mereka.

Sayangnya, kebanyakan pemuda pemudi Islam masa kini hampir sama cara memilih mereka seperti rancangan TV tersebut. Syarat dan kriteria lebih menitikberatkan aspek yang nampak berbanding yang tersembunyi. Material dan fizikal lebih utama dari aspek spiritual dan mental. Mereka mungkin memahami hidup ini sekadar untuk meraih keseronokan, kelazatan dan kesenangan. Perjuangan mereka dalam rumahtangga ialah menghimpun wang dan kekayaan.

Akhirnya rumahtangga yang terbina sangat rapuh. Akarnya dari awal lagi telah buruk dimakan anai-anai kejahilan. Andainya berbuah, buah-buahnya tidak mampu dimanfaatkan. Kalaupun tidak beracun dan mampu membunuh orang yang memakannya, ia menambahkan kolestrol dan menakung bakteria berbahaya. Begitulah rumahtangga yang dibina oleh kebanyakan pemuda Islam zaman moden. Anak-anak yang lahir mewarisi budaya dan cara berfikir ibubapanya. Hidup tanpa risalah yang besar dalam hidup mereka.

Bagi pemuda-pemudi yang memahami hakikat kehidupan dan kematian mereka, memahami nilai diri dan usia yang Allah kurniakan… mereka miliki impian besar dalam hidup. Impian besar dalam berumahtangga. Bagi mereka rumahtangga medah tarbiah… medan jihad… medan dakwah. Keluarganya bakal menjadi penggerak masyarakat. Bakal berkembang menjadi mujtama’, daulah dan khilafah. Mereka berumahtangga bukan sekadar memenuhi tuntutan fitrah dan biologi semata-mata, tapi medan jihad dan pengorbanan. Rumahtangga merupakan madrasah yang mampu melahirkan anak-anak yang mampu menyambung risalah perjuangan ibubapanya. Lantaran itu mereka patrikan akad nikah mereka dengan baiah jihad dan tadhiyyah. Impian mereka sangat tinggi, setinggi Firdausi. Cinta mereka sangat suci, hingga ke syurga yang kekal abadi.

Sayangnya, tidak ramai pemuda dan pemudi berfikiran begitu di masa kini. Perkahwinan mereka cuma diikat oleh cinta yang terhasil dari kekaguman fizikal dan material. Impian mereka juga berfokuskan fizikal dan material. Lantaran itu bila dunia gempa, luntur dan berguguran mahligai cinta mereka.

Kepada ikhwah dan akhawatku yang dalam pencarian, ingatlah… kalian memegang amanah untuk memastikan yang anda perolehi itu adalah terbaik. Jangan kerana kesilapan anda, kubu perjuangan kita diserang dari sudut anda berada kerana mereka tahu kalian sangat rapuh. Banyakkan berdoa… dan teruskan mencari di lorong-lorong tarbiah, di warung-warung halaqah dan usrah… mahalkan diri anda kerana nilai usia sangat berharga untuk perjuangan yang anda fahami dan pikul.

kepada sahabat-sahabatku, hidup ini memerlukan pengorbanan yang lebih daripada apa yang kita jangkakan. lebih-lebih lagi dengan ujian yang semakin hebat, teknologi yang semakin mendorong kepada maksiat jika tidak digunakan dengan baik. jangan sampai kita merasakan bahawa dosa itu adalah perkara biasa hinggakan hati kita tidak langsung sensitif dengan remaja yang bercanda, bergelak ketawa dan bertepuk tampar. jelas sekali sangat jauh dan berbeza dengan sikap generasi pemuda yang dididik oleh Rasulullah. ayuh, jadilah kita generasi penyambung yang meneruskan risalah yang pernah dibawa oleh Rasulullah dan generasi pemuda yang mulia(jilul ‘izzah)!